Pendidikan Anak

Archive for the ‘Pendidikan Awal Kanak-Kanak’ Category

857E0034

Bismillah walhamdulillah

InsyaAllah kali ini saya ingin mengupas tentang aktiviti bersama anak-anak. Pastinya para ibu sentiasa sibuk ya dengan urusan di tempat kerja, urusan peribadi mahupun urusan rumahtangga. Anak-anak juga tak kurang sibuk dengan urusannya.

Bagaimana jika anda melihat anak-anak sibuk dengan ‘urusannya’.

Runsing?

Rimas?

Risau?

Suka?

Syukur?

Banyak persepsi para ibu tentang hal ini. Anak-anak yang sedang berkembang akalnya, jua fizikalnya pasti tidak dapat duduk diam. Meneroka sana sini pasti menjadi aktivitinya yang paling menyenangkan. Namun, kadangkala, aktiviti yang mereka lakukan mendatangkan kegusaran kepada para ibu.

Kenapa?

Kerana tempat meneroka mereka pastinya akan bersepah. Ada yang terkoyak, pecah, hancur, basah dan sebagainya. Hal inilah yang sangat menggusarkan pemikiran para ibu.

Tunggu dulu, cuba fikirkan semula faedah daripada semua itu. Selain ibu yang mendapat pahala mengemas dengan sabar, anak-anak juga memperoleh suatu yang amat berharga. Berharga dalam pertumbuhan fizikal mahupun mentalnya. Bukankah itu lebih berharga daripada terus menghalang dan memarahi mereka?

Semestinya YA!

Biarkan anak anda meneroka! Namun, tanggungjawab kita adalah memastikan tempat yang mereka terokai selamat. Apa jadi jika kita sering saja menghalang anak-anak daripada melakukan aktiviti mereka  sendiri?

Sudah tentu anak-anak mula terasa perbuatan mereka tidak disenangi. Penerokaan yang merupakan pembelajaran itu tidak disenangi banyak pihak. Maka, apa yang akan berlaku? Anak-anak mula enggan untuk belajar sendiri. Bersikap tidak proaktif dan tidak yakin diri. Itukah yang kita mahukan?

Jika tidak, rancanglah aktiviti bersama anak-anak jika kita sayangkan mereka.  Selain mereka melakukan aktiviti mereka sendiri, cuba kita pula yang masuk ke dunia mereka. Pasti ketika itu mereka sangat merasai keseronokan dalam pembelajaran.

Pembelajaran di sini bukan saja bererti membuka buku, memegang pensel, duduk dan dengar, malah bermain dengan disertai keseronokan akan menjadi lebih bermakna buat ibu dan juga anak-anak.

Kerisauan yang sebenarnya adalah apabila anda melihat anak anda duduk diam tanpa sebarang aktiviti. Sedangkan mereka seperti ‘span’ pada masa itu. Maka, jangan sia-siakan usia kecil anak-anak anda. Gunakan masa berharga ini dengan sebaiknya. InsyaAllah.

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam satu hadith, “pilihlah tetanggamu sebelum memilih rumahmu”, mengajarkan kita bahawa suasana rumah lebih penting berbanding kemudahan dan kecantikan rumah tersebut. Rumah yang sederhana sekalipun, tetapi mempunyai jiran tetangga yang baik, suasana masyarakat yang berakhlak dan menyokong perkembangan anak-anak, jauh lebih baik berbanding rumah mewah ditengah-tengah kemaksiatan dan kejahatan penduduk di sekelilingnya.

Selain dari sikap kita terhadap anak, anak juga belajar dari sikap suasana sekeliling terhadapnya. Dari situlah dia belajar bergaul, mengenali orang asing dan bagaimanakah erti sebenar dunia. Sebab itu pemilihan suasana membesarkan anak sangat penting dalam pendidikan anak. Kalau kata orang tua-tua, pendidikan anak bermula dari mencari calon ibunya lagi. Kerana sudah pasti ibu yang baik memainkan peranan yang penting dalam pendidikan anak. Memanglah bagi saya, pendidikan anak bermula dari mencari calon ayahnya lagi. Kerana ayah dan ibulah “suasana” paling dekat bagi seorang anak.

Anak itu ibarat kain putih, kitalah, orang yang disekelilingnya, yang mencorakkan anak itu agar akhirnya menjadi kain yang bermacam-macam coraknya. Pasti gusar kan? seandainya ingin pergi ke tempat yang tidak terkawal suasananya seperti rumah saudara-mara yang kita kenal akan buruknya akhlak anak-anak mereka? takut anak terpengaruh dengan apa yang terdedah padanya.

Imam Syafi’e dikatakan menutup telinganya sepanjang perjalanannya ke pasar, kerana takut pengaruh jahat yang mungkin masuk ke dalam fikiran dan hatinya. Apatah lagi seorang anak kecil yang menyerap segala-gala yang berada di sekelilingnya, ditambah dengan perkembangan mereka yang cukup pesat, menyebabkan perbuatan jahat mudah sekali terlekat.

Maka, tanyakan pada diri, suasana apakah yang telah kita sediakan untuk anak kita?

 

img_0145

“Kenape Abdullah picit dakwat tu? Kan dah tumpah dah.”

“Minta maaf ummi, Abdullah tak sengaja.”

“Ummi nak marah Abdullah boleh? Tadikan ummi dah cakap jangan main dengan dakwat tu.”

“Sekarang ni kemas balik. Abdullah yang tumpahkan, lap balik sampai bersih.”

“Ok, Abdullah lap”

“tak boleh la, ummi, tak boleh la. Abdullah tak pandai, ummi buat lah”

“Kan Abdullah yang tumpah kan tadi?, Abdullah la yang kene lap. Siape yang tumpahkan die kene lap. Mari sini ummi tunjukkan.”

 

Biasanya ibu bapa lebih mudah memarahi anak dan melarang mereka dari meneroka dunia sekeliling mereka kerana itu lebih mudah buat kedua ibu bapa. Anda bagaimana?

Apakah anda ingin mendidik anak dengan cara yang mudah atau cara yang berkesan?

Orang yang ingin mendidik anak dengan mudah lebih suka anak mereka menjadi anak yang selalu duduk diam sahaja, menurut kata2 kedua ibubapa dengan perasaan takut. Apabila anak melakukan kesilapan, hukum mereka supaya mereka tahu apa yang mereka buat itu akan menyebabkan mereka dihukum, jadi mereka takkan mengulangi perbuatan itu lagi.

Maka lahirlah anak yang tidak melakukan perbuatan yang dilarang kerana takut akan hukuman dan ancaman dari kedua ibubapa. Diluar dari lingkungan ibubapa mereka pun bermaharaja lela berbuat sesuka hati.

Atau kebarangkalian lain, lahirlah anak yang selalu memberontak kerana mereka belajar bahawa cara untuk menyuruh orang lain melakukan apa mereka inginkan adalah dengan cara memarahi mereka, sama seperti yang dilakukan kepada mereka.

Seorang anak belajar bagaimana bertindak dengan orang sekelilingnya adalah daripada bagaimana orang sekelilingnya memperlakukan dirinya. Seorang anak yang selalu dimarahi akan belajar bahawa untuk mendapatkan sesuatu dia juga perlu memarahi orang lain. Seorang anak yang selalu dimanjai akan belajar bahawa untuk mendapatkan sesuatu dia tidak perlu berusaha apa-apa. Dan begitulah seterusnya.

Bagaimana mendidik anak agar menjadi matang sebelum usia mereka? Layanlah mereka seperti anda melayan seorang dewasa yang belum mengerti apa-apa.

Bagaimana kita menyinggapi seorang kawan yang menumpahkan dakwat di atas meja kita? Terus memarahi dan mencubit mereka? Apakah logik dari perbuatan itu yang ingin kita tanamkan pada seorang anak?

Seorang anak kecil belum lagi mahir mengawal saraf otot mereka dengan baik. Disebabkan itu, pergerakan mereka tak selancar orang dewasa. Air tertumpah, barangan terjatuh, alatan-alatan yang pecah dan sebagainya akan sering menjadi sebahagian dari jadual sehariannya. Kita yang dewasa pun kadang-kala secara tidak sengaja memecahkan barangan rumah, apatahlagi mereka.

Seorang anak kecil mempunyai perasaan ingin tahu yang membuak-buak. Disebabkan perasaan inilah mereka dapat berkembang dengan pesat, belajar dengan pantas dan menuasai ilmu kehidupan. Semua yang berada di sekeliling mereka menimbulkan tanda tanya.

“Ummi, tu ape tu yang hitam tu?”

“Ummi kenape ikan tu duduk dalam air?”

“Abi kenape abi solat?”

Menghalang mereka daripada meneroka alam disekitar mereka bererti menghalang suatu kehendak yang membuak-buak dari dalam jiwa mereka. Untuk lebih mudah difahami lagi, ianya bagaikan menghalang seorang yang lapar dari makan dan seorang yang mengantuk dari tidur.

“Tapi kalau tak halang, habislah bersepah rumah. Berteraburlah semua barangan. Tak larat lah asyik nak kene kemas rumah jer.”

Hmm soal ini, kene bijak lah dalam mengaturkannya. Banyak penyelesaian yang ada, antaranya :

1.       Mengajarkan mereka agar bertanggung jawab mengemaskan kembali barangan yang telah dia sepahkan. Anda boleh menjadikan mengemas itu satu perbuatan yang seolah-olahnya sangat menyeronokkan. Boleh juga memberikan syarat kepada mereka kalau nak main kene kemas balik selepas habis main. Menyediakan satu ruang khusus untuk mereka bermain juga satu kelebihan.

2.       Sediakan barangan permainan yang mencukupi buat mereka. Maka mereka tak perlu bereksperimen dengan barangan kita yang lain yang lebih berharga. Tapi biasanya anak lebih berminat dengan barangan dia selalu lihat kita gunakan. Ingat mereka sebenarnya ingin belajar dan bereksperimen bukan sekadar bermain. Dia ingin merasai pengalaman membuat semuanya. Dia ingin mengetahui cara melakukan semua perkara.

3.       Bermain bersama mereka akan mengubah suatu permainan yang membosankan menjadi sangat menarik. Anak sangat suka apa pun jenis permainan yang dimainkan bersama orang yang dia sayangi.

Anak yang dipenuhi kehendak perasaan ingin tahu mereka akan menjadi anak yang cepat matang. Anak yang cepat matang akan mudah menerima pelajaran. Anak yang mudah menerima pelajaran, akan sekaligus kurang merosakkan barangan dan kurang menyepahkan. Malah andai mereka diajar bertanggung jawab, mereka akan menjadi pembantu anda yang sangat baik.

Jadi, biarkan mereka bereksperimen. Biar kita susah sebentar, biar kita susah dalam usaha mereka untuk menjadi matang, biar kita susah sekarang, asalkan anak kita lebih cepat menjadi anak yang bijak dan akhirnya dapat menjadi pembantu, bukan lagi penyusah.

Sebab itu pepatah melayu mengatakan bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Anak yang dididik secara ambil mudah oleh kedua ibubapa, memanglah masa kecil mereka lebih mudah kita jaga (bukan didik), tetapi apabila sampai waktu besar, sangat menyusahkan kedua ibubapa, selalu memberontak, selalu mengamuk, tidak mendengar kata, bertindak kasar, dan sebagainya. Ataupun kita bersusah payah memerhatikan pelajaran-pelajaran mereka dengan perasaan redho dan cinta, membimbing mereka dengan lemah-lembut dan kasih sayang, agar mereka nantinya juga menjadi seorang yang lemah lembut dan penuh cinta juga, hasil dari pelajaran yang mereka dapatkan dari orang disekeliling mereka.

 


Bismillah, walhamdulillah…

Saya terpanggil untuk menulis tentang pendidikan anak kerana telah banyak persoalan dan juga keadaan yang saya lihat amat mengecewakan saya… hal ini kerana, pendidikan anak yang banyak digunakan oleh kaum ibu bapa seringkali menemukan kegagalan.Walaupun saya tidak nafikan, ada ibu bapa yang berjaya dan teknik mereka memang perlu dijadikan contoh.

Sedarkah para ibu bapa sekalian, apakah tujuan utama kita melahirkan anak atau seorang insan yang tidak mengerti itu? Adakah semata-mata ingin mendapatkan zuriat dan akhirnya hasil zuriat itu telah merosakkan masyarakat sosial dan negara.

Saya tertanya-tanya, mengapa ramai ibu bapa menghabiskan banyak duit untuk pendidikan anak mereka semata-mata, namun hasilnya, mereka menjadi lebih liar, bukan lebih bijak. Dalam hal ini, mari kita sama-sama mengkoreksi diri kita sebagai ibu bapa. Elakkan mencari kesalahan orang lain. Lihatlah apa yang telah kita perbuat untuk anak kita.

Satu kesalahan para ibu bapa dalam member pendidikan kepada anak adalah, melepaskan tanggungjawab pendidikan secara total kepada guru di sekolah, tadika atau taman asuhan. Maka, tiada gunalah penulisan saya di sini sekiranya pendidik utama anak-anak adalah orang asing iaitu bukan ibu bapa sendiri.

Melepaskan tali untuk kesenangan para ibu bapa bukanlah pilihan yang baik. Malah dapat menghambat atau menghalang langsung perkembangan optimal si anak. Ingatlah bahawa, pendidikan awal bermula di rumah. Tanggungjawab seorang ibu bukanlah membebankan, namun ia adalah anugerah dan juga nikmat. Tanyalah sendiri kepada para ibu bapa yang Berjaya dengan susah payah membesarkan anak-anak. Itulah kepuasan yang tiada tandingan.

Yakinlah bahawa usaha mendidik anak adalah usaha mulia dan bukan suatu yang menjelekkan apatah lagi menghinakan. Saya menyeru para ibu bapa khususnya dan juga bakal ibu bapa umumnya untuk mengembangkan potensi diri dalam mengasuh dan mendidik anak.

John Gray Ph. D. di dalam bukunya ‘Children Are From Heaven’ berpesan tentang lima perkara mengasuh dan mendidik anak secara positif.

1. Boleh saja berbeza

2. Boleh saja membuat kesalahan

3. Boleh saja mempunyai emosi negatif

4. Boleh saja menginginkan lebih banyak

5. Boleh saja berkata tidak, tetapi ingat Ayah dan Ibu adalah BOS dalam keluarga

Menyentuh perkara ketiga, emosi negatif anak-anak yang sering menguji ibu bapa adalah seperti marah, sedih, takut, muram, mengamuk, malu, cemburu dan ragu-ragu. Perasaan seperti ini sering ditunjukkan oleh anak-anak kecil yang sedang berkembang. Perkembangan emosi pasti perlu dititik beratkan oleh ibu bapa. Mendidik anak agar dapat mengatasi emosi seperti di atas pastilah penting agar mereka dapat berkembang dengan optima sehingga dewasa.

Maka, peranan orang tua adalah mencipta kesempatan-kesempatan yang sesuai bagi anak-anak untuk merasakan dan mengutarakan perasaan negatif mereka. Namun begitu, perasaan-perasaan negatif ini sering diutarakan pada waktu yang tidak tepat oleh anak-anak. Hal ini sudah tentu perlu diterima dengan lapang dada. Jangan cepat melatah dan terburu-buru dengan menunjukkan tindakan emosi negatif juga. Seorang ibu biasa saja tersilap melepaskan perasaan negative itu, apatah lagi seorang anak yang sedang berkembang.

Seperti kebanyakan ibu bapa sedia maklum, anak-anak lebih cepat menyerap tindakan yang diperlihatkan ibunya. Sekiranya ibu bapa mula menyuarakan perasaan risau, takut, malu, marah dan sedihnya kepada anak, maka anak-anak akan mempelajari sesuatu daripada situasi itu. Apakah yang dipelajari mereka?

Anak-anak perlu didorong dan diajar mengatasi sesuatu kondisi. Dengan mengekspresi emosi ibu bapa, hal ini tidak akan member pelajaran yang baik buat anak. Dengan bertindak secara optimis dan berfikir positif, ibu bapa mampu mengawal perasaannya dan tidak mengekspresinya sehingga anak-anak terasa beban dengan situasi itu kemudian mereka lebih cenderung untuk turut menunjukkan emosi negetif tersebut. Mereka tidak dapat belajar cara mengatasi suatu kondisi dengan akal yang matang, tetapi mengatasi dengan emosi yang negatif. Kerana itulah yang dicontohi ibu bapanya.

Sebagai contoh, seorang anak memanjat pokok kemudian sang ibu mula menghalangnya dengan berkata, “jangan panjat pokok tu, ibu takut kamu akan jatuh nanti.” Terdapat cara yang lebih baik dalam menghadpi situasi ini. Sebagai contoh, seorang anak kecil menarik kerusi menuju ke aquarium untuk melihat ikan dengan lebih dekat. Ibu yang permisif, pasti betindak dengan menghampiri anaknya di sebelah aquarium, dan bertanya tentang perasaannya ketika itu.

“Seronok ke tengok ikan?”

atau,

“ikan tu buat apa tu?”

atau,

“Pandainya anak ibu, tak sampai untuk tengok ikan, buna kerusi untuk naik.”

Kan mudah dan optimis sekali. Sekaligus anak mempelajari untuk menghargai perasaan orang lain dan menemukan saat-saat yang indah bersama itu.

Maka dengan ini, anak kita pasti berkembang dengan positif. Bukan kita yang menghambat perkembangannya, malah kita yang mengembangkan perasaan cinta, kepimpinan dan sebagainya dalam diri seorang anak.


Top Clicks

  • None

Blog Stats

  • 17,563 hits
April 2024
M T W T F S S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930