Pendidikan Anak

Archive for January 2009

Saya tertarik dengan artikel terbaru saifulislam.com, Televisyen Manusia Mukallaf. Menunjukkan komunikasi efektif sangat memainkan peranan penting. Benar, apabila televisyen berada di rumah bukan persoalan utama,namun bagaimana kita mengawal anak-anak itu sering menjadi masalah utama. Boleh saja kan televisyen itu tidak bernyawa, namun penghuni rumah itu tetap bernyawa. Kerana saya teringat dengan satu moto, ‘ruang tamu adalah nadi sebuah rumah.’ Moto ini dicipta kerana sesebuah syarikat itu mempromosikan televisyen di mana televisyen diletakkan di bahagian ruang tamunya.

Apa yang ingin saya tekankan di sini adalah teknik berkomunikasi dengan anak-anak. Ramai ibu bapa mengeluh, anak mereka tidak mahu mengikut atau mendengar apa yg mereka perintahkan. Ada juga yang merungut, anak-anak sekarang lebih suka dibiarkan daripada diperintah-perintah. Benar, zaman berbeza, cara didikan zaman ibu bapa kita telah lapuk. Namun, jangan disalah erti, cara didikan yang ditunjukkan oleh para pendahulu kita, Rasulullah secara khususnya sangat perlu dicontohi.

Kembali kepada topik asal. Mengapa kita sering sekali bertemu dengan masalah ‘anak degil’? Cuba kita kira, berapa banyak perintah yang telah kita keluarkan kepada anak kita dalam sehari?

“Jangan sepahkan barang permainan tu!”
“Tolong buang sampah di tempatnya!”
“ Jangan bergaduh!”
“ Jangan pukul adik kamu!”
“ Tolong tutup pintu rumah kejap”
“ Boleh tak tolong kemas bilik sendiri”
“ Jangan menghadap TV lama sangat, buat kerja sekolah kamu”

Kira sendiri. Kemudian cuba letakkan diri kita di tempat mereka. Bayangkan kita berada di tempat kerja dan dalam satu hari kita menerima arahan demi arahan. Apakah kita senang sekali mengikutnya, atau sesekali kita merungut dan memberontak seterusnya merasa tidak senang dengan bos atau orang yang memerintah itu. Lambat laun kita berhenti kerja dek kerana tekanan.

Aggaplah anak kita sebagai sebahagian daripada diri kita sendiri. Saya tertarik dengan kata-kata saifulislam kepada anaknya.

Yop tak nak jadi biadab kepada ibu bapa, kan?”

Ini adalah teknik ataupun kaedah yang dibawa oleh mana-mana ibu bapa yang berjaya. Seperti ayah berjaya, Hassan Al-Banna, beliau menasihati anaknya secara langsung ketika anaknya Saiful Islam menyukai baca komik dengan memahamkan anaknya agar apa yang dilakukannya itu lebih baik datang daripada diri sendiri, bukan atas arahan ataupun tekanan siapa pun.

Ada dua bentuk kata-kata yang boleh saya ketengahkan. Yang pertamanya bersifat autokratik, dan yang keduanya lebih bersifat member motivasi. Contohnya kita inginkan anak kita supaya mengemaskan barang-barang yang telah disepahkannya. Yang manakah yang lebih efektif?

1. “Boleh tak kamu kemas semula barang-barang ini?”

2. “Kamu mahu kemaskan semula barang-barang ini kan?”

Nampaknya memang sepele atau sama saja. Namun, kata-kata sangat memberi efek yang besar buat perkembangan anak.

Bagi kata-kata yang pertama, anak-anak sebenarnya mungkin menerima salah satu daripada pesanan berikut.

“Kamu mesti menyusun barang-barang ini”
“Sepatutnya kamu menyusun semula barang-barang ini.”
“Sepatutnya ibu tak perlu menyuruh kamu lagi”
“Ibu sedang letih, sepatutnya kamu kemaskan barang-barang ini”
“Kamu tidak melakukan apa yang ibu perintahkan”

Mungkin bukan arahan ini yang dimaksudkan oleh seorang ibu, namun itulah yang ditangkap oleh anaknya. Semua perintah-perintah ini mengundang rasa bersalah yang tidak membina bagi si anak. Berbanding menggunakan pesanan kedua.

“kamu mahu kan…”

Itu kan lebih membina potensi diri seorang anak. Sesuatu yang berbentuk arahan yang jelas, namun tidak menampakkan ia seperti arahan yang keras.

Suatu hari anak saya ketika berumur 2tahun pada ketika itu berkata,

“Umi, umi nak tak Abdullah tolong umi sidai kain?” Sekali lagi ibu saya hairan dengan pertanyaan yang berunsur cinta itu.
“Umi, umi nak tak dengar Abdullah cerita harimau dan sang kancil? Enak sekali ‘arahan’ itu. Sebaiknya kita menerimanya dengan sungguh-sungguh. Kerana anak-anak belajar melalui teladan. Apa yang kita ucapkan, apa yang kita lakukan, itu pula yang dilakukannya.

Maka, sekiranya orang tua di rumah mula bersikap kooperatif dengan menggunakan kata-kata yang lebih efektif dan berkesan. Maka, tidak timbullah isu ‘anak degil’ seumpama kita mendoakannya menjadi keras kepala.


Bismillah, walhamdulillah…

Saya terpanggil untuk menulis tentang pendidikan anak kerana telah banyak persoalan dan juga keadaan yang saya lihat amat mengecewakan saya… hal ini kerana, pendidikan anak yang banyak digunakan oleh kaum ibu bapa seringkali menemukan kegagalan.Walaupun saya tidak nafikan, ada ibu bapa yang berjaya dan teknik mereka memang perlu dijadikan contoh.

Sedarkah para ibu bapa sekalian, apakah tujuan utama kita melahirkan anak atau seorang insan yang tidak mengerti itu? Adakah semata-mata ingin mendapatkan zuriat dan akhirnya hasil zuriat itu telah merosakkan masyarakat sosial dan negara.

Saya tertanya-tanya, mengapa ramai ibu bapa menghabiskan banyak duit untuk pendidikan anak mereka semata-mata, namun hasilnya, mereka menjadi lebih liar, bukan lebih bijak. Dalam hal ini, mari kita sama-sama mengkoreksi diri kita sebagai ibu bapa. Elakkan mencari kesalahan orang lain. Lihatlah apa yang telah kita perbuat untuk anak kita.

Satu kesalahan para ibu bapa dalam member pendidikan kepada anak adalah, melepaskan tanggungjawab pendidikan secara total kepada guru di sekolah, tadika atau taman asuhan. Maka, tiada gunalah penulisan saya di sini sekiranya pendidik utama anak-anak adalah orang asing iaitu bukan ibu bapa sendiri.

Melepaskan tali untuk kesenangan para ibu bapa bukanlah pilihan yang baik. Malah dapat menghambat atau menghalang langsung perkembangan optimal si anak. Ingatlah bahawa, pendidikan awal bermula di rumah. Tanggungjawab seorang ibu bukanlah membebankan, namun ia adalah anugerah dan juga nikmat. Tanyalah sendiri kepada para ibu bapa yang Berjaya dengan susah payah membesarkan anak-anak. Itulah kepuasan yang tiada tandingan.

Yakinlah bahawa usaha mendidik anak adalah usaha mulia dan bukan suatu yang menjelekkan apatah lagi menghinakan. Saya menyeru para ibu bapa khususnya dan juga bakal ibu bapa umumnya untuk mengembangkan potensi diri dalam mengasuh dan mendidik anak.

John Gray Ph. D. di dalam bukunya ‘Children Are From Heaven’ berpesan tentang lima perkara mengasuh dan mendidik anak secara positif.

1. Boleh saja berbeza

2. Boleh saja membuat kesalahan

3. Boleh saja mempunyai emosi negatif

4. Boleh saja menginginkan lebih banyak

5. Boleh saja berkata tidak, tetapi ingat Ayah dan Ibu adalah BOS dalam keluarga

Menyentuh perkara ketiga, emosi negatif anak-anak yang sering menguji ibu bapa adalah seperti marah, sedih, takut, muram, mengamuk, malu, cemburu dan ragu-ragu. Perasaan seperti ini sering ditunjukkan oleh anak-anak kecil yang sedang berkembang. Perkembangan emosi pasti perlu dititik beratkan oleh ibu bapa. Mendidik anak agar dapat mengatasi emosi seperti di atas pastilah penting agar mereka dapat berkembang dengan optima sehingga dewasa.

Maka, peranan orang tua adalah mencipta kesempatan-kesempatan yang sesuai bagi anak-anak untuk merasakan dan mengutarakan perasaan negatif mereka. Namun begitu, perasaan-perasaan negatif ini sering diutarakan pada waktu yang tidak tepat oleh anak-anak. Hal ini sudah tentu perlu diterima dengan lapang dada. Jangan cepat melatah dan terburu-buru dengan menunjukkan tindakan emosi negatif juga. Seorang ibu biasa saja tersilap melepaskan perasaan negative itu, apatah lagi seorang anak yang sedang berkembang.

Seperti kebanyakan ibu bapa sedia maklum, anak-anak lebih cepat menyerap tindakan yang diperlihatkan ibunya. Sekiranya ibu bapa mula menyuarakan perasaan risau, takut, malu, marah dan sedihnya kepada anak, maka anak-anak akan mempelajari sesuatu daripada situasi itu. Apakah yang dipelajari mereka?

Anak-anak perlu didorong dan diajar mengatasi sesuatu kondisi. Dengan mengekspresi emosi ibu bapa, hal ini tidak akan member pelajaran yang baik buat anak. Dengan bertindak secara optimis dan berfikir positif, ibu bapa mampu mengawal perasaannya dan tidak mengekspresinya sehingga anak-anak terasa beban dengan situasi itu kemudian mereka lebih cenderung untuk turut menunjukkan emosi negetif tersebut. Mereka tidak dapat belajar cara mengatasi suatu kondisi dengan akal yang matang, tetapi mengatasi dengan emosi yang negatif. Kerana itulah yang dicontohi ibu bapanya.

Sebagai contoh, seorang anak memanjat pokok kemudian sang ibu mula menghalangnya dengan berkata, “jangan panjat pokok tu, ibu takut kamu akan jatuh nanti.” Terdapat cara yang lebih baik dalam menghadpi situasi ini. Sebagai contoh, seorang anak kecil menarik kerusi menuju ke aquarium untuk melihat ikan dengan lebih dekat. Ibu yang permisif, pasti betindak dengan menghampiri anaknya di sebelah aquarium, dan bertanya tentang perasaannya ketika itu.

“Seronok ke tengok ikan?”

atau,

“ikan tu buat apa tu?”

atau,

“Pandainya anak ibu, tak sampai untuk tengok ikan, buna kerusi untuk naik.”

Kan mudah dan optimis sekali. Sekaligus anak mempelajari untuk menghargai perasaan orang lain dan menemukan saat-saat yang indah bersama itu.

Maka dengan ini, anak kita pasti berkembang dengan positif. Bukan kita yang menghambat perkembangannya, malah kita yang mengembangkan perasaan cinta, kepimpinan dan sebagainya dalam diri seorang anak.

“Umi, kenapa umi pakai baju cantik-cantik?”

“Umi nak pegi kelas”

“Umi jangan la pegi kampus, nanti Abdullah nangis”

“Umi pegi sekejap je, nanti umi balik rumah semula”

“Nanti anjing kejar umi, Abdullah nak ikut umi, nanti Abdullah boleh tolong umi”

“Time kasih Abdullah sebab nak tolong umi. Umi tak nampak anjing pon kat kat sini. Takpe, kalau ada anjing nanti umi lari la”

“Alaaaa… Abdullah nak ikut umi. Nak tolong umi.”


Ayat yang sering kali diutarakan oleh Abdullah setiap kali uminya akan ke kelas. Usia 2 tahun setengah memang sudah matang dalam komunikasi. Allahmdulillah, inilah kurniaan Allah. Mungkin juga ujian.

Ketika tiba di rumah, selepas tamat kelas…

“Yei yei umi balik. Umi, tadi Abdullah nangis.”

“Kenapa Abdullah nangis?”

“Sebab umi pegi kampus”

“Lepas ni, kita pegi jalan sama-sama kat luar tau”

“Ok, nanti ABdullah tak nangis la”


Dialog ini juga sering dimainkan di rumah. Apabila tiba saja di bilik, bertalu-talu soalan diajukan. Alhamdulillah, semuanya mudah dijawab. =)

Namun, 2 hari lepas…

“Umi, kenapa umi pakai baju tu? Nak pegi kampus ke?”

“Umi ada lab. Nak pegi lab”

“Ok, umi pegi la, Abdullah dah tak nangis dah, Abdullah nak hantar umi kat pintu je”

“Ok, time kasih Abdullah, sayang Abdullah. Duduk rumah baik-baik ye. baca buku yang banyak kat atas meja tu tau”

“Ok”

Selesai salam dan sayang, uminya berlalu dengan hati yang sangat tenang.

Alhamdulillah, kesabaran memang sangat teruji. Namun Allah juga yang akan meredakan segalanya. Yakin, ikhlas dan sabar. Pasti selepas susah itu ada kesenangan. Ameennn…..

Ibu bapa merupakan ‘designer’ buat anak mereka. ‘Designer’ yang mencorakkan batik pasti menghasilkan batik, yang melukis alam cakerawala, pastilah itu juga hasil akhirnya. Tidak mungkin akan menghasilkan sulaman atau pemandangan laut.

Anak juga adalah cerminan ibu bapa. Setuju atau tidak? Sekiranya ditolak dengan faktor persekitaran, sosial, dan apa saja di sekelilingnya, maka benar, anak adalah cerminan ibu bapa. Kanak-kanak zaman sekarang ‘berkulit nipis’ berbanding kanak-kanak zaman lampau. Lihat saja bagaimana ayah atau ibu kita dibesarkan. Dari kecil diperkenalkan dengan rotan, ancaman dan hukuman. Sekiranya tidak pulang sebelum jam 7 malam selepas keluar bermain, pasti dihukum samada ditinggalkan di luar rumah, dikunci, ataupun dirotan. Dan mungkin juga anak itu dimarah habis-habisan. Maka, anak akan ingat, sebelum gelap, pasti balik, jika tidak ayah atau ibu pasti melakukan tindakan yang mngerikan itu. Kulit mereka tebal, hati mereka kental. Dengan persekitaran yang tidak seperti sekarang, ibu bapa zaman lampau lebih mudah mengendalikan anak mereka dengan ancaman dan hukuman.

Namun, zaman sekarang begitu berbeza. Sistem demokrasi diperjuangkan habis-habisan. Sekiranya ada hak yang tidak ditunaikan, maka tuntutan yang dibuat amatlah bersungguh-sungguh. Menolak terus penindasan merupakan sikap masyarakat sosial masa kini. Maka, kanak-kanak zaman sekarang lebih mudah memberontak sekiranya digertak. Apabila dimarahi, pasti bertindak agresif atau terus pasif.

Maka, keadaan ini harus kita terima sebagai ibu yang inginkan anaknya tercorak dengan baik. Bukan Mudah memahami karakter kanak-kanak yang unik ini. Sesuatu masalah yang timbul pasti berpunca di rumah dan penyelesaiannya juga pasti di rumah.

Anak-anak yang sentiasa diancam hukuman dan ancaman, pasti merasa tidadk tenang ketika bersama ibu bapa di rumah. Lihat saja anak kecil yang sedang berkembang. Umur dua tahun sudah mula melompat sana-sini. Apabila lompat dari katil ke lantai, dari sofa ke karpet, dari anak tangga ke anak tangga, para ibu terutamanya, pasti memarahi dengan sungguh sekali. Kerana takut anaknya tercedera. Takut anaknya jatuh. Sehingga larangan itu akhirnya disusuli dengan ancaman sekiranya kanak-kanak tersebut masih meneruskan aktivitinya.

Ayuh para ibu bapa, masa mereka berkembang dan membesar, biarkan mereka membesar dan bekembang seoptima mungkin. Jangan sampai disebabkan kita, perkembangan mereka terencat. perkembangan emosi mereka terganggu dan merasa tidak selamat di rumah. Maka dipilihnya luar rumah untuk setiap aktivitinya. Jangan sampai anak kita menjauhi kita hanya kerana emosi kita dan juga kesalahan kita yang sering berulang.

Fikirlah dengan matang, tanamlah kepercayaan sepenuhnya pada anak kita bahawa mereka lebih selamat berada bersama kita di rumah dan di mana-mana, bukan merasa tidak tenteram dan takut.

Permata HatiBahagian paling penting dalam mengasuh anak adalah kasih sayang dan menyediakan masa dan tenaga untuk anak-anak. Kerana tanpa kasih sayang, anak akan terasa tidak selamat dan murung. Malah, hadiah yang paling istimewa kepada anak kita pastinya bukan ais krim, lolypop, mainan lego dan seumpamanya. Namun, hadiah yang paling istimewa buat anak-anak kita adalah – KITA. Masa yang diluangkan bersama-sama. Walaupun kasih sayang merupakan syarat penting dan utama, namun kasih sayang sahaja tidaklah cukup. Sekiranya kita tidak memahami keperluan anak-anak, pasti kita tidak dapat memberikan apa yang diperlukan oleh anak kita ketika itu. Tanpa pemahaman tentang keperluan anak-anak, kita juga tidak dapat mendidik anak secara efektif.

Malah, sebenarnya ada sahaja orang tua yang mempunyai masa dan bersedia untuk bersama anak mereka, namun masa itu dibiarkan berlalu kerana mereka tidak tahu aktiviti apa yang mesti mereka lakukan. Demikianlah banyak orang tua yang mahu berbicara dengan anak-anak, namun anak mereka diam sahaja. Orang tua ini bersedia namun tidak tahu cara yang efektif untuk mengajak anak berbicara.

Sesetengah orang tua tahu akibat daripada perbuatan memarahi, memukul atau menghukum anak bahkan mereka tidak mahu melakukan hal sedemikian. Namun, apabila usaha untuk berinteraksi dengan anak mereka tidak berhasil dan seringkali menemui kegagalan, maka satu-satunya cara yang mereka kenal hanyalah menghukum atau mengancam  untuk menghukum.

Berbicara atau berinteraksi dengan anak pasti berjaya sekiranya kita tahu apa yang diperlukan oleh anak kita sendiri. Kita pasti dahulu perlu mendengar perbicaraan dan permintaan anak kita supaya anak tersebut mahu berbicara dengan kita semula. Kita juga perlu tahu bagaimana semestinya mengajukan pertanyaan agar anak bertindak dan mudah menerima. Kita huarus belajar memberikan kebebasan yang besar buat anak-anak kita namun kita tetap perlu mengawasinya. Sekiranya para ibu bapa di luar sana sudah menguasai kemampuan-kemampuan ini, maka mereka dapat melepaskan cara-cara lama dalam mengasuh anak mereka.