Pendidikan Anak

Posts Tagged ‘Ancaman

Cuba tanya pada diri sendiri, sebagai ibu bapa, pernahkah kita menghadiahi anak dengan ‘hadiah yang berkualiti’? Jika member hadiah mungkin selalu sahaja kan? Namun memberi hadiah yang berkualiti adalah bergantung kepada masa dan situasi. Sekiranya sering, ia mungkin sudah tidak lagi istimewa. Namun jika tepat pada masa dan situasinya, pasti anak akan rasa sangat dihargai. Biarpun hadiah yang diterima berupa coki-coki, pensel, permainan atau buku serta barangan yang murah sekalipun, ianya tetap bermanfaat buat pelajaran anak kita. Kerana harga bukan ukuran sesuatu hadiah, namun keikhlasan itu adalah ukurannya.

Ketika anak berhasil dalam mempelajari sesuatu, atau ketika anak telah menolong kita dalam suatu perkara, berilah sedikit penghargaan kepadanya, bukan hanya berpuas hati dengan pertolongannya. Berilah penghargaan walau dengan ucapan terima kasih. Berilah senyuman seikhlas mungkin atau sekadar pelukan erat. Tidak susah kan, walaupun bukan dengan hadiah atau penghargaan fizikal, namun dengan kasih sayang itu anak mudah menumbuhkan sikap menghargai sesuatu dalam dirinya.

“Abdullah, tolong umi angkat baju-baju di luar boleh?”

“Ok”

Dengan menghulurkan sebuah bakul kepadanya, terus diangkat semua baju-baju yang tersidai di jemuran yang rendah.

“Nah umi, dah habis dah Abdullah angkat”

“Ok, terima kasih, banyaknya pahala Abdullah tolong umi”

“Nanti Abdullah dapat pahala, pastu Allah sayang” perkataan yang mudah saja meluncur dari bibir anak comel itu.

Ganjaran pahala? Bukankah ia suatu yang betul-betul tidak Nampak, malah tidak dirasai? Namun, itulah ganjaran yang paling memotivasikan dirinya. Bagaimana memupuknya? Sudah tentu dengan kaedah pengulangan. Berulang-ulang dalam menyebut tentang faedah daripada mendapat kasih sayang Allah. Dan boleh juga memberitahu sedikit ancaman daripada tidak mendapat kasih sayang Allah.

Cubalah!!! Saya telah mendapati sesuatu yang menarik. Yang penting yakin dengan perkataan yang kita sebutkan. Yakin dengan keyakinan yang benar-benar mantap, bahawa ganjaran Allah itu pasti ada.

Permata HatiBahagian paling penting dalam mengasuh anak adalah kasih sayang dan menyediakan masa dan tenaga untuk anak-anak. Kerana tanpa kasih sayang, anak akan terasa tidak selamat dan murung. Malah, hadiah yang paling istimewa kepada anak kita pastinya bukan ais krim, lolypop, mainan lego dan seumpamanya. Namun, hadiah yang paling istimewa buat anak-anak kita adalah – KITA. Masa yang diluangkan bersama-sama. Walaupun kasih sayang merupakan syarat penting dan utama, namun kasih sayang sahaja tidaklah cukup. Sekiranya kita tidak memahami keperluan anak-anak, pasti kita tidak dapat memberikan apa yang diperlukan oleh anak kita ketika itu. Tanpa pemahaman tentang keperluan anak-anak, kita juga tidak dapat mendidik anak secara efektif.

Malah, sebenarnya ada sahaja orang tua yang mempunyai masa dan bersedia untuk bersama anak mereka, namun masa itu dibiarkan berlalu kerana mereka tidak tahu aktiviti apa yang mesti mereka lakukan. Demikianlah banyak orang tua yang mahu berbicara dengan anak-anak, namun anak mereka diam sahaja. Orang tua ini bersedia namun tidak tahu cara yang efektif untuk mengajak anak berbicara.

Sesetengah orang tua tahu akibat daripada perbuatan memarahi, memukul atau menghukum anak bahkan mereka tidak mahu melakukan hal sedemikian. Namun, apabila usaha untuk berinteraksi dengan anak mereka tidak berhasil dan seringkali menemui kegagalan, maka satu-satunya cara yang mereka kenal hanyalah menghukum atau mengancam  untuk menghukum.

Berbicara atau berinteraksi dengan anak pasti berjaya sekiranya kita tahu apa yang diperlukan oleh anak kita sendiri. Kita pasti dahulu perlu mendengar perbicaraan dan permintaan anak kita supaya anak tersebut mahu berbicara dengan kita semula. Kita juga perlu tahu bagaimana semestinya mengajukan pertanyaan agar anak bertindak dan mudah menerima. Kita huarus belajar memberikan kebebasan yang besar buat anak-anak kita namun kita tetap perlu mengawasinya. Sekiranya para ibu bapa di luar sana sudah menguasai kemampuan-kemampuan ini, maka mereka dapat melepaskan cara-cara lama dalam mengasuh anak mereka.