Pendidikan Anak

Posts Tagged ‘Pendidikan

img_02841

“Wah, anak awak dah ada banyak ‘vocab’ ”

“Eh, dah dekat tiga tahun masih pakai pampers?”

“Yusuf tak pandai lagi cakap, risau la”

Banyak rungutan dan juga kritikan yang saya terima akhir-akhir ini, baik kritikan kepada anak saya mahupun rungutan kepada anak mereka sendiri. Semuanya berlaku apabila kita mula membeza-bezakan anak kita dengan anak orang lain.

Sebenarnya, kebolehan anak itu berbeza-beza. Walaupun dari perut yang sama, namun perkembangan mereka tetap berbeza. Malah, kadangkala rungutan yang datang itu seolah-olah tidak nampak bahawa anak mereka juga punya banyak kelebihan dan kebolehan lain.

Anak saya, Abdullah mungkin boleh bertutur dengan sempurna dan mempunyai banyak perbendaharaan kata, namun masih memakai lampin pakai buang. Namun, ada sesetengah anak-anak kawan saya yang sama umur dengan Abdullah, sudah pandai membancuh susu buat adiknya, sudah tidak lagi memakai lampin pakai buang. Namun, tidak petah berbicara dan kurang mengenal benda-benda sekeliling. Seperti anak saudara saya, Yusuf Adham (saya suka nama ini), ibunya sangat khuatir tentang perkembangan Yusuf. Sudah berumur satu tahun namun tidak berbicara dengan perkataan. Lebih banyak menggunakan isyarat tangan dan bunyi.

Khuatir dengan perkembangan anak. Inilah yang berlaku sekiranya ibu terutamanya mula membandingkan anak sendiri dengan anak orang lain. membandingkan dengan tujuan untuk mengajarkan sesuatu yang lebih baik tidak salah, akan tetapi membandingkan seolah merendahkan, itu kan tidak sepatutnya. Siapa anak kita, bagaimana anak kita, semua itu hasil pendidikan kita. Hasil pendidikan awal yang diterima daripada seorang ibu, bapa dan juga lingkungan.

Sebenarnya tidak perlu bimbang dengan semua hal ini. Sekiranya ibu atau bapa asyik mengulang-ulang perkataan yang nampak khuatir seperti,

“Kamu ni sudah besar, namun masih lagi memakai lampin.”

“Kamu cakaplah sesuatu perkataan. Jangan hanya menunjuk-nunjuk jika mahukan sesuatu.”

Itukan bunyinya seperti kerisauan yang menguasai diri sehingga terkeluar dari bibir. Kadangkala, anak menjadi rendah diri dengan kekurangan yang sering kita sebutkan. Bukankah kita berperanan mendidik anak dengan positif. Maka, elakkan perkataan-perkataan yang dapat membangkitkan perasaan negatif anak.

Ingatlah bahawa kebolehan anak-anak itu berbeza. Sekiranya masih terdapat sedikit kekurangan daripada anak yang lain, jangan khuatir. Anak kita tentu punya kebolehan dari sisi yang lain. Bukankah terdapat banyak kecerdasan yang diperkenalkan oleh Howard Gardner? Maka perhatikan anak kita. Tentu banyak lagi kelebihan dan kebolehannya daripada anak-anak yang lain.

Cuba tanya pada diri sendiri, sebagai ibu bapa, pernahkah kita menghadiahi anak dengan ‘hadiah yang berkualiti’? Jika member hadiah mungkin selalu sahaja kan? Namun memberi hadiah yang berkualiti adalah bergantung kepada masa dan situasi. Sekiranya sering, ia mungkin sudah tidak lagi istimewa. Namun jika tepat pada masa dan situasinya, pasti anak akan rasa sangat dihargai. Biarpun hadiah yang diterima berupa coki-coki, pensel, permainan atau buku serta barangan yang murah sekalipun, ianya tetap bermanfaat buat pelajaran anak kita. Kerana harga bukan ukuran sesuatu hadiah, namun keikhlasan itu adalah ukurannya.

Ketika anak berhasil dalam mempelajari sesuatu, atau ketika anak telah menolong kita dalam suatu perkara, berilah sedikit penghargaan kepadanya, bukan hanya berpuas hati dengan pertolongannya. Berilah penghargaan walau dengan ucapan terima kasih. Berilah senyuman seikhlas mungkin atau sekadar pelukan erat. Tidak susah kan, walaupun bukan dengan hadiah atau penghargaan fizikal, namun dengan kasih sayang itu anak mudah menumbuhkan sikap menghargai sesuatu dalam dirinya.

“Abdullah, tolong umi angkat baju-baju di luar boleh?”

“Ok”

Dengan menghulurkan sebuah bakul kepadanya, terus diangkat semua baju-baju yang tersidai di jemuran yang rendah.

“Nah umi, dah habis dah Abdullah angkat”

“Ok, terima kasih, banyaknya pahala Abdullah tolong umi”

“Nanti Abdullah dapat pahala, pastu Allah sayang” perkataan yang mudah saja meluncur dari bibir anak comel itu.

Ganjaran pahala? Bukankah ia suatu yang betul-betul tidak Nampak, malah tidak dirasai? Namun, itulah ganjaran yang paling memotivasikan dirinya. Bagaimana memupuknya? Sudah tentu dengan kaedah pengulangan. Berulang-ulang dalam menyebut tentang faedah daripada mendapat kasih sayang Allah. Dan boleh juga memberitahu sedikit ancaman daripada tidak mendapat kasih sayang Allah.

Cubalah!!! Saya telah mendapati sesuatu yang menarik. Yang penting yakin dengan perkataan yang kita sebutkan. Yakin dengan keyakinan yang benar-benar mantap, bahawa ganjaran Allah itu pasti ada.

Bismillahwalhamdulillah…

Dalam topik lepas, Siapa Mendidik Anak Anda?, saya ada menyebut bahawa ramai para ibu bapa yang sanggup menghabiskan ratusan malah ribuan ringgit semata-mata untuk menaja pendidikan anak baik di rumah ataupun di sekolah. Ada juga yang membeli set-set pembelajaran yang berharga ratusan juga ribuan ringgit. Sedangkan para ibu bapa sesetengahnya terlupa bahawa terdapat satu sisi pendidikan yang hanya memakan sejumlah wang yang tidak sampai sepuluh ringgit pun yang membolehkan seorang anak berkembang secara optima malah dengan inisiatif dan kesungguhan anak itu sendiri. Sehingga ada di antara para ibu bapa yang memnghambat pertumbuhan dan perkembangan anak itu secara alami. Anda masih kurang jelas kan? Lebih baik saya memberi keadaan yang realiti. Sebagai contoh:

Seorang anak sedang bermain dengan tape pelekat. Kemudian ditariknya panjang-panjang dan dilekatkannya di merata-rata. Dengan sungguh-sungguh dan tekun sekali perlakuannya itu. Apabila ibunya tersedar, apa yang diperlakukan ibunya adalah ‘naik angin’ atau melenting dengan emosi sekali. Kerana apa yang anaknya lakukan itu adalah tidak wajar dan sepatutnya tidak boleh.

Apa yang berlaku sekiranya hal ini berlaku?

1.       Anak tersebut tidak belajar tentang sebab dan akibat sesuatu perbuatan

2.       Anak tersebut belajar menangani sesuatu secara emosi bukan akal yang waras

3.       Anak tersebut merasakan bahawa ibunya tidak senang dengan ‘eksperimennya’ pada hari itu

4.       Anak tersebut tidak dapat mengetahui secara tepat penggunaan pita pelekat

5.       Anak tersebut mula terasa putus asa untuk belajar kembali

Dan banyak lagi…

Menjadi seorang ibu yang Berjaya, bukanlah mudah seperti teorinya. Perlukan kesabaran yang tinggi. Nasihat saya, berusahalah untuk mengawal emosi ketika bersama anak, terutama ketika anak masih berumur 2-4 tahun. Banyak perlakuannya yang ibu bapa rasa seperti tidak wajar untuk anak itu lakukan.

Sebenarnya, memang tidak wajar hal itu dilakukan oleh orang dewasa, namun wajar sekali bagi yang bergelar kanak-kanak. Cuba bandingkan harga tape itu dengan harga satu set pembelajaran. Anak-anak belajar dengan mengeksperimen dan mencuba segala-galanya. Usahanya jangan dihalang, dan kreativitinya jangan dipertikai. Sepatutnya apa yang dilakukan oleh seorang ibu atau bapa adalah menggalakkannya untuk belajar dan berusaha lagi, dan tunjukkanlah jalan yang sebenar menggunakan sesuatu alat. Barulah anak dapat belajar dengan optima.

Sekarang, jelas bukan??? Pendidikan tidak formal yang diusahakan sendiri oleh anak itu adalah pendidikan alami yang tidak perlukan belanja yang tinggi. Maka sekali lagi saya menyeru diri saya dan semua ibu bapa untuk mendidik anak secara optimis dan tidak menggunakan emosi berlebihan. Wallahua’lam.

 

img_0145

“Kenape Abdullah picit dakwat tu? Kan dah tumpah dah.”

“Minta maaf ummi, Abdullah tak sengaja.”

“Ummi nak marah Abdullah boleh? Tadikan ummi dah cakap jangan main dengan dakwat tu.”

“Sekarang ni kemas balik. Abdullah yang tumpahkan, lap balik sampai bersih.”

“Ok, Abdullah lap”

“tak boleh la, ummi, tak boleh la. Abdullah tak pandai, ummi buat lah”

“Kan Abdullah yang tumpah kan tadi?, Abdullah la yang kene lap. Siape yang tumpahkan die kene lap. Mari sini ummi tunjukkan.”

 

Biasanya ibu bapa lebih mudah memarahi anak dan melarang mereka dari meneroka dunia sekeliling mereka kerana itu lebih mudah buat kedua ibu bapa. Anda bagaimana?

Apakah anda ingin mendidik anak dengan cara yang mudah atau cara yang berkesan?

Orang yang ingin mendidik anak dengan mudah lebih suka anak mereka menjadi anak yang selalu duduk diam sahaja, menurut kata2 kedua ibubapa dengan perasaan takut. Apabila anak melakukan kesilapan, hukum mereka supaya mereka tahu apa yang mereka buat itu akan menyebabkan mereka dihukum, jadi mereka takkan mengulangi perbuatan itu lagi.

Maka lahirlah anak yang tidak melakukan perbuatan yang dilarang kerana takut akan hukuman dan ancaman dari kedua ibubapa. Diluar dari lingkungan ibubapa mereka pun bermaharaja lela berbuat sesuka hati.

Atau kebarangkalian lain, lahirlah anak yang selalu memberontak kerana mereka belajar bahawa cara untuk menyuruh orang lain melakukan apa mereka inginkan adalah dengan cara memarahi mereka, sama seperti yang dilakukan kepada mereka.

Seorang anak belajar bagaimana bertindak dengan orang sekelilingnya adalah daripada bagaimana orang sekelilingnya memperlakukan dirinya. Seorang anak yang selalu dimarahi akan belajar bahawa untuk mendapatkan sesuatu dia juga perlu memarahi orang lain. Seorang anak yang selalu dimanjai akan belajar bahawa untuk mendapatkan sesuatu dia tidak perlu berusaha apa-apa. Dan begitulah seterusnya.

Bagaimana mendidik anak agar menjadi matang sebelum usia mereka? Layanlah mereka seperti anda melayan seorang dewasa yang belum mengerti apa-apa.

Bagaimana kita menyinggapi seorang kawan yang menumpahkan dakwat di atas meja kita? Terus memarahi dan mencubit mereka? Apakah logik dari perbuatan itu yang ingin kita tanamkan pada seorang anak?

Seorang anak kecil belum lagi mahir mengawal saraf otot mereka dengan baik. Disebabkan itu, pergerakan mereka tak selancar orang dewasa. Air tertumpah, barangan terjatuh, alatan-alatan yang pecah dan sebagainya akan sering menjadi sebahagian dari jadual sehariannya. Kita yang dewasa pun kadang-kala secara tidak sengaja memecahkan barangan rumah, apatahlagi mereka.

Seorang anak kecil mempunyai perasaan ingin tahu yang membuak-buak. Disebabkan perasaan inilah mereka dapat berkembang dengan pesat, belajar dengan pantas dan menuasai ilmu kehidupan. Semua yang berada di sekeliling mereka menimbulkan tanda tanya.

“Ummi, tu ape tu yang hitam tu?”

“Ummi kenape ikan tu duduk dalam air?”

“Abi kenape abi solat?”

Menghalang mereka daripada meneroka alam disekitar mereka bererti menghalang suatu kehendak yang membuak-buak dari dalam jiwa mereka. Untuk lebih mudah difahami lagi, ianya bagaikan menghalang seorang yang lapar dari makan dan seorang yang mengantuk dari tidur.

“Tapi kalau tak halang, habislah bersepah rumah. Berteraburlah semua barangan. Tak larat lah asyik nak kene kemas rumah jer.”

Hmm soal ini, kene bijak lah dalam mengaturkannya. Banyak penyelesaian yang ada, antaranya :

1.       Mengajarkan mereka agar bertanggung jawab mengemaskan kembali barangan yang telah dia sepahkan. Anda boleh menjadikan mengemas itu satu perbuatan yang seolah-olahnya sangat menyeronokkan. Boleh juga memberikan syarat kepada mereka kalau nak main kene kemas balik selepas habis main. Menyediakan satu ruang khusus untuk mereka bermain juga satu kelebihan.

2.       Sediakan barangan permainan yang mencukupi buat mereka. Maka mereka tak perlu bereksperimen dengan barangan kita yang lain yang lebih berharga. Tapi biasanya anak lebih berminat dengan barangan dia selalu lihat kita gunakan. Ingat mereka sebenarnya ingin belajar dan bereksperimen bukan sekadar bermain. Dia ingin merasai pengalaman membuat semuanya. Dia ingin mengetahui cara melakukan semua perkara.

3.       Bermain bersama mereka akan mengubah suatu permainan yang membosankan menjadi sangat menarik. Anak sangat suka apa pun jenis permainan yang dimainkan bersama orang yang dia sayangi.

Anak yang dipenuhi kehendak perasaan ingin tahu mereka akan menjadi anak yang cepat matang. Anak yang cepat matang akan mudah menerima pelajaran. Anak yang mudah menerima pelajaran, akan sekaligus kurang merosakkan barangan dan kurang menyepahkan. Malah andai mereka diajar bertanggung jawab, mereka akan menjadi pembantu anda yang sangat baik.

Jadi, biarkan mereka bereksperimen. Biar kita susah sebentar, biar kita susah dalam usaha mereka untuk menjadi matang, biar kita susah sekarang, asalkan anak kita lebih cepat menjadi anak yang bijak dan akhirnya dapat menjadi pembantu, bukan lagi penyusah.

Sebab itu pepatah melayu mengatakan bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Anak yang dididik secara ambil mudah oleh kedua ibubapa, memanglah masa kecil mereka lebih mudah kita jaga (bukan didik), tetapi apabila sampai waktu besar, sangat menyusahkan kedua ibubapa, selalu memberontak, selalu mengamuk, tidak mendengar kata, bertindak kasar, dan sebagainya. Ataupun kita bersusah payah memerhatikan pelajaran-pelajaran mereka dengan perasaan redho dan cinta, membimbing mereka dengan lemah-lembut dan kasih sayang, agar mereka nantinya juga menjadi seorang yang lemah lembut dan penuh cinta juga, hasil dari pelajaran yang mereka dapatkan dari orang disekeliling mereka.

 

Permata HatiBahagian paling penting dalam mengasuh anak adalah kasih sayang dan menyediakan masa dan tenaga untuk anak-anak. Kerana tanpa kasih sayang, anak akan terasa tidak selamat dan murung. Malah, hadiah yang paling istimewa kepada anak kita pastinya bukan ais krim, lolypop, mainan lego dan seumpamanya. Namun, hadiah yang paling istimewa buat anak-anak kita adalah – KITA. Masa yang diluangkan bersama-sama. Walaupun kasih sayang merupakan syarat penting dan utama, namun kasih sayang sahaja tidaklah cukup. Sekiranya kita tidak memahami keperluan anak-anak, pasti kita tidak dapat memberikan apa yang diperlukan oleh anak kita ketika itu. Tanpa pemahaman tentang keperluan anak-anak, kita juga tidak dapat mendidik anak secara efektif.

Malah, sebenarnya ada sahaja orang tua yang mempunyai masa dan bersedia untuk bersama anak mereka, namun masa itu dibiarkan berlalu kerana mereka tidak tahu aktiviti apa yang mesti mereka lakukan. Demikianlah banyak orang tua yang mahu berbicara dengan anak-anak, namun anak mereka diam sahaja. Orang tua ini bersedia namun tidak tahu cara yang efektif untuk mengajak anak berbicara.

Sesetengah orang tua tahu akibat daripada perbuatan memarahi, memukul atau menghukum anak bahkan mereka tidak mahu melakukan hal sedemikian. Namun, apabila usaha untuk berinteraksi dengan anak mereka tidak berhasil dan seringkali menemui kegagalan, maka satu-satunya cara yang mereka kenal hanyalah menghukum atau mengancam  untuk menghukum.

Berbicara atau berinteraksi dengan anak pasti berjaya sekiranya kita tahu apa yang diperlukan oleh anak kita sendiri. Kita pasti dahulu perlu mendengar perbicaraan dan permintaan anak kita supaya anak tersebut mahu berbicara dengan kita semula. Kita juga perlu tahu bagaimana semestinya mengajukan pertanyaan agar anak bertindak dan mudah menerima. Kita huarus belajar memberikan kebebasan yang besar buat anak-anak kita namun kita tetap perlu mengawasinya. Sekiranya para ibu bapa di luar sana sudah menguasai kemampuan-kemampuan ini, maka mereka dapat melepaskan cara-cara lama dalam mengasuh anak mereka.