Pendidikan Anak

Posts Tagged ‘Tips Keluarga


Bismillah, walhamdulillah…

Saya terpanggil untuk menulis tentang pendidikan anak kerana telah banyak persoalan dan juga keadaan yang saya lihat amat mengecewakan saya… hal ini kerana, pendidikan anak yang banyak digunakan oleh kaum ibu bapa seringkali menemukan kegagalan.Walaupun saya tidak nafikan, ada ibu bapa yang berjaya dan teknik mereka memang perlu dijadikan contoh.

Sedarkah para ibu bapa sekalian, apakah tujuan utama kita melahirkan anak atau seorang insan yang tidak mengerti itu? Adakah semata-mata ingin mendapatkan zuriat dan akhirnya hasil zuriat itu telah merosakkan masyarakat sosial dan negara.

Saya tertanya-tanya, mengapa ramai ibu bapa menghabiskan banyak duit untuk pendidikan anak mereka semata-mata, namun hasilnya, mereka menjadi lebih liar, bukan lebih bijak. Dalam hal ini, mari kita sama-sama mengkoreksi diri kita sebagai ibu bapa. Elakkan mencari kesalahan orang lain. Lihatlah apa yang telah kita perbuat untuk anak kita.

Satu kesalahan para ibu bapa dalam member pendidikan kepada anak adalah, melepaskan tanggungjawab pendidikan secara total kepada guru di sekolah, tadika atau taman asuhan. Maka, tiada gunalah penulisan saya di sini sekiranya pendidik utama anak-anak adalah orang asing iaitu bukan ibu bapa sendiri.

Melepaskan tali untuk kesenangan para ibu bapa bukanlah pilihan yang baik. Malah dapat menghambat atau menghalang langsung perkembangan optimal si anak. Ingatlah bahawa, pendidikan awal bermula di rumah. Tanggungjawab seorang ibu bukanlah membebankan, namun ia adalah anugerah dan juga nikmat. Tanyalah sendiri kepada para ibu bapa yang Berjaya dengan susah payah membesarkan anak-anak. Itulah kepuasan yang tiada tandingan.

Yakinlah bahawa usaha mendidik anak adalah usaha mulia dan bukan suatu yang menjelekkan apatah lagi menghinakan. Saya menyeru para ibu bapa khususnya dan juga bakal ibu bapa umumnya untuk mengembangkan potensi diri dalam mengasuh dan mendidik anak.

Advertisements

John Gray Ph. D. di dalam bukunya ‘Children Are From Heaven’ berpesan tentang lima perkara mengasuh dan mendidik anak secara positif.

1. Boleh saja berbeza

2. Boleh saja membuat kesalahan

3. Boleh saja mempunyai emosi negatif

4. Boleh saja menginginkan lebih banyak

5. Boleh saja berkata tidak, tetapi ingat Ayah dan Ibu adalah BOS dalam keluarga

Menyentuh perkara ketiga, emosi negatif anak-anak yang sering menguji ibu bapa adalah seperti marah, sedih, takut, muram, mengamuk, malu, cemburu dan ragu-ragu. Perasaan seperti ini sering ditunjukkan oleh anak-anak kecil yang sedang berkembang. Perkembangan emosi pasti perlu dititik beratkan oleh ibu bapa. Mendidik anak agar dapat mengatasi emosi seperti di atas pastilah penting agar mereka dapat berkembang dengan optima sehingga dewasa.

Maka, peranan orang tua adalah mencipta kesempatan-kesempatan yang sesuai bagi anak-anak untuk merasakan dan mengutarakan perasaan negatif mereka. Namun begitu, perasaan-perasaan negatif ini sering diutarakan pada waktu yang tidak tepat oleh anak-anak. Hal ini sudah tentu perlu diterima dengan lapang dada. Jangan cepat melatah dan terburu-buru dengan menunjukkan tindakan emosi negatif juga. Seorang ibu biasa saja tersilap melepaskan perasaan negative itu, apatah lagi seorang anak yang sedang berkembang.

Seperti kebanyakan ibu bapa sedia maklum, anak-anak lebih cepat menyerap tindakan yang diperlihatkan ibunya. Sekiranya ibu bapa mula menyuarakan perasaan risau, takut, malu, marah dan sedihnya kepada anak, maka anak-anak akan mempelajari sesuatu daripada situasi itu. Apakah yang dipelajari mereka?

Anak-anak perlu didorong dan diajar mengatasi sesuatu kondisi. Dengan mengekspresi emosi ibu bapa, hal ini tidak akan member pelajaran yang baik buat anak. Dengan bertindak secara optimis dan berfikir positif, ibu bapa mampu mengawal perasaannya dan tidak mengekspresinya sehingga anak-anak terasa beban dengan situasi itu kemudian mereka lebih cenderung untuk turut menunjukkan emosi negetif tersebut. Mereka tidak dapat belajar cara mengatasi suatu kondisi dengan akal yang matang, tetapi mengatasi dengan emosi yang negatif. Kerana itulah yang dicontohi ibu bapanya.

Sebagai contoh, seorang anak memanjat pokok kemudian sang ibu mula menghalangnya dengan berkata, “jangan panjat pokok tu, ibu takut kamu akan jatuh nanti.” Terdapat cara yang lebih baik dalam menghadpi situasi ini. Sebagai contoh, seorang anak kecil menarik kerusi menuju ke aquarium untuk melihat ikan dengan lebih dekat. Ibu yang permisif, pasti betindak dengan menghampiri anaknya di sebelah aquarium, dan bertanya tentang perasaannya ketika itu.

“Seronok ke tengok ikan?”

atau,

“ikan tu buat apa tu?”

atau,

“Pandainya anak ibu, tak sampai untuk tengok ikan, buna kerusi untuk naik.”

Kan mudah dan optimis sekali. Sekaligus anak mempelajari untuk menghargai perasaan orang lain dan menemukan saat-saat yang indah bersama itu.

Maka dengan ini, anak kita pasti berkembang dengan positif. Bukan kita yang menghambat perkembangannya, malah kita yang mengembangkan perasaan cinta, kepimpinan dan sebagainya dalam diri seorang anak.

Ibu bapa merupakan ‘designer’ buat anak mereka. ‘Designer’ yang mencorakkan batik pasti menghasilkan batik, yang melukis alam cakerawala, pastilah itu juga hasil akhirnya. Tidak mungkin akan menghasilkan sulaman atau pemandangan laut.

Anak juga adalah cerminan ibu bapa. Setuju atau tidak? Sekiranya ditolak dengan faktor persekitaran, sosial, dan apa saja di sekelilingnya, maka benar, anak adalah cerminan ibu bapa. Kanak-kanak zaman sekarang ‘berkulit nipis’ berbanding kanak-kanak zaman lampau. Lihat saja bagaimana ayah atau ibu kita dibesarkan. Dari kecil diperkenalkan dengan rotan, ancaman dan hukuman. Sekiranya tidak pulang sebelum jam 7 malam selepas keluar bermain, pasti dihukum samada ditinggalkan di luar rumah, dikunci, ataupun dirotan. Dan mungkin juga anak itu dimarah habis-habisan. Maka, anak akan ingat, sebelum gelap, pasti balik, jika tidak ayah atau ibu pasti melakukan tindakan yang mngerikan itu. Kulit mereka tebal, hati mereka kental. Dengan persekitaran yang tidak seperti sekarang, ibu bapa zaman lampau lebih mudah mengendalikan anak mereka dengan ancaman dan hukuman.

Namun, zaman sekarang begitu berbeza. Sistem demokrasi diperjuangkan habis-habisan. Sekiranya ada hak yang tidak ditunaikan, maka tuntutan yang dibuat amatlah bersungguh-sungguh. Menolak terus penindasan merupakan sikap masyarakat sosial masa kini. Maka, kanak-kanak zaman sekarang lebih mudah memberontak sekiranya digertak. Apabila dimarahi, pasti bertindak agresif atau terus pasif.

Maka, keadaan ini harus kita terima sebagai ibu yang inginkan anaknya tercorak dengan baik. Bukan Mudah memahami karakter kanak-kanak yang unik ini. Sesuatu masalah yang timbul pasti berpunca di rumah dan penyelesaiannya juga pasti di rumah.

Anak-anak yang sentiasa diancam hukuman dan ancaman, pasti merasa tidadk tenang ketika bersama ibu bapa di rumah. Lihat saja anak kecil yang sedang berkembang. Umur dua tahun sudah mula melompat sana-sini. Apabila lompat dari katil ke lantai, dari sofa ke karpet, dari anak tangga ke anak tangga, para ibu terutamanya, pasti memarahi dengan sungguh sekali. Kerana takut anaknya tercedera. Takut anaknya jatuh. Sehingga larangan itu akhirnya disusuli dengan ancaman sekiranya kanak-kanak tersebut masih meneruskan aktivitinya.

Ayuh para ibu bapa, masa mereka berkembang dan membesar, biarkan mereka membesar dan bekembang seoptima mungkin. Jangan sampai disebabkan kita, perkembangan mereka terencat. perkembangan emosi mereka terganggu dan merasa tidak selamat di rumah. Maka dipilihnya luar rumah untuk setiap aktivitinya. Jangan sampai anak kita menjauhi kita hanya kerana emosi kita dan juga kesalahan kita yang sering berulang.

Fikirlah dengan matang, tanamlah kepercayaan sepenuhnya pada anak kita bahawa mereka lebih selamat berada bersama kita di rumah dan di mana-mana, bukan merasa tidak tenteram dan takut.